Wednesday 9 September 2015

Kuih Puteri Ayu

Sewaktu mula-mula terima resepi kuih Puteri Ayu ni, belum ada acuannya. Tapi waktu itu, dek kerana teringin benar nak makan, saya bancuh juga adunannya dan kukus dalam loyang saiz 9".

Hahahahaha

Bayangkan, kuiih Puteri Ayu yang sepatutnya comel-comel saiznya jadi sebiji KEK Puteri Ayu!

Selepas percubaan pertama yang sedap dan diterima tekak, saya tak putus harapan mencari acuannya sampai dapat. Entah kenapa waktu itu susah benar nak dapat acuannya. Semua kedai yang saya pergi kata acuan habis. Musim orang makan Kuih Puteri Ayu barangkali?

Dan setelah sekian lama menyimpan acuan setelah dibeli, barulah semalam saya buat lagi kuih ini kerana kebetulan bahannya semua ada dan tekak meminta-minta kuih ini, walaupun ketika itu sudah lewat petang dan sepatutnya sudah waktu saya memasak untuk makan malam.

Apa-apa pun, inilah resepi yang saya gunakan, dari blog JintanManis.

Kuih Puteri Ayu... siap! Makan panas sedap ni...

KUIH PUTERI AYUSumber asal: Ros JintanManis

2 biji telur (saya gunakan Gred B)
1 cawan gula halus
1 sudukecil ovellete
2 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder *optional
1 cawan santan
1 sudukecil perisa pandan (Saya ganti dengan jus dari 3 helai daun pandan ditambah setitik pewarna hijau)

Isi kelapa putin + dgn sikit tepung gandum dan garam (digaul rata)

Cara-cara:

Sediakan periuk kukusan terlebih dahulu.

1. Pecahkan telur dan asingkan putih dan kuning. Masukkan putih telur dalam mangkuk pengadun dan dipukul pada kelajuan sederhana sehingga kembang. Kemudian tambahkan kuning telur dan pukul lagi sehiungga kembang. Kemudian masukkan gula serta ovalette, dan teus memukul sehingga gebu dan likat.

2. Masukkan tepung yg dicampur dengan baking powder secara berselang seli dengan santan yang telah dicampur dengan air daun pandan. teruskan menggaul sehingga rata dan adunan tidak berketul.

3. Isikan kelapa putih dalam acuan dan ditekan sedikit supaya mampat. tambahkan adunan tepung tadi sehingga penuh.

4. Kukus sehingga kuih masak dan nampak renggang dari acuan, selama 7 ke 10 minit lebih kurang.

Siap untuk disediakan.

Sedikit nota tambahan dari Ros JintanManis,

*Petua bagi puteri ayu senang dikeluarkan dari acuan- ros@jintanmanis.com*
1. pastikan acuan di sapu dengan minyak terlebih dahulu.
2. Pilih acuan yang tinggi sedikit dan permukaan dalam acuan puteri ayu berkilat, supaya senang dikeluarkan nanti. ( ros ade dua jenis acuan puteri ayu yang dalam nye tak berkilat dan yang berkilat, ternyata acuan yang dalamnye berkilat lebih senang digunakan). 
3. Pastikan kelapa tu dimampatkan betul-betul ke dasar acuan, setelah siap dikukus terus keluarkan puteri ayu perlahan-lahan dari acuan.

Selamat Mencuba!






Thursday 3 September 2015

Botok-botok Ikan


Botok-botok Ikan Tenggiri

Botok-botok ikan ni hidangan istimewa masyarakat Jawa dan amat sinonim dgn negeri Johor.

Secara ringkas ianya adalah kepingan ikan tenggiri yang dikukus dengan pes rempah istimewa bersama ulam-ulaman dan daun herba terpilih.

Jom belajar sediakan Botok-botok Ikan.



STEP 1:
Sediakan 1 kepingan ikan tenggiri
(Cuci bersih dan gaul dengan garam). Ketepikan.
Daun pisang untuk membungkus botok-botok.

STEP 2:
Ulam & daun herba:
Daun kunyit
Daun cekur
Daun kaduk (saya gunakan daun sireh)
Daun kesom
Pucuk gajus / ketereh
Pucuk putat
Pucuk tenggek burung
Pucuk salam / serai kayu

*cuci & bersihkan semua ulaman.
Sediakan daun kunyit dan ambil 1/3 bahagian ulam-ulam tadi, letakkan semua diatasnya. Gulung padat dan hiris kasar.

STEP 3:
Sediakan pes botok-botok.

  • Bahan untuk pes botok-botok:
  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • Cili kering (rendam dan rebus)
  • Halia
  • Serai
  • Lengkuas
  • Kelapa parut
  • Rempah kari
  • Belacan
  • Garam
  • Gula
  • Air assam jawa

Kisar semua bahan pes (kecuali air assam, belacan, garam dan gula).

Tumis bahan kisar sampai wangi. Masukkan belacan. Tumis lagi biar sehingga cili masak dan garing. Jika terlalu kering boleh tambah air sedikit demi sedikit sehingga tumisan naik minyak (part ni agak mengambil masa dan step penting untuk hasilkan pes yg sedap).

Sesuaikan rasa dengan garam, gula & air asam jawa.

*Masukkan daun herba dan ulaman yang sudah dihiris tadi.

Gaul dan biarkan mereneh seketika. Tutup api. Ketepikan.

STEP 4:
Sediakan daun pisang cukup besar untuk bungkus botok-botok (saya gunakan aluminium foil).


Susunkan ulam-ulam dan daun herba.
Letakkan kepingan ikan tenggiri diatas daun-daun tadi.

Curahkan kuah (pes) botok-botok yang sudah siap dimasak tadi.

Bungkus kemas dan rapikan dengan lidi.

Kukus sehingga ikan masak, kira-kira 45 minit ke 1 jam.

Jika menggunakan ikan lebih dari 1 keping, sebaiknya bungkus setiap keping ikan tu berasingan.

Selamat mencuba!


Wednesday 24 December 2014

Kek Buah Kukus

Jiran rumah sebelah sudahpun memulakan perjalanan mereka pagi tadi. Perjalanan melalui darat sejauh 600 km ke Kuching dari Bintulu. Mudah-mudahan mereka selamat sampai dan kembali, dapatlah kami berjumpa lagi sebelum kami pula berangkat pulang ke Semenanjung.
Dalam pada kegembiraan mereka hendak menyambut perayaan Krismas, saya pula terasa ingin menikmati kek raya.
Seawal pagi saya memulakan operasi kerana kek perlu siap dikukus sebelum tengahari. Periuk kukus yang ada hanyalah sebiji periuk nasi automatik. Selesai mengukus nanti perlu digunakan untuk memasak nasi pula.
Ok, terus sahaja kepada resepi yg digunakan kali ini dari sis Azie Kitchen. Sumber asal menurut beliau disalin dari resepi Chef Zubaidah bte Chepa dipetik dari buku Steamed Cake terbitan One Publisher.
--------
Kek Buah-Buahan Kukus
Oleh: fridanorm
Bahan bahan:
225 gm mentega (untuk rasa yg enak saya pilih Goldrn Churn)
340 gm gula pasir
50 gm air panas
500 gm Mixed Fruits/Buahan Campuran
3 biji telur saiz A (saiz B pun ok!)
1 sk vanilla extract/essence
Bahan ayak:
1 sk cream of tartar
2 sk soda bikarbonat
350 gm tepung gandum
1 sk serbuk Nutmeg/buah pala
Cara cara:
Masakkan gula pasir sehingga perang (jangan sampai hangus pulak) dan tuangkan air perlahan lahan. Guna api kecil jer. Biar sampai mendidih kemudian masukkan mentega/butter dan biarkan cair. 

Masak gula pasir sehingga perang dan tambahkan butter.

Masukkan pula mixed fruits dan biarkan mendidih lagi untuk seketika. Ketepikan dan sejukkan sebentar.

Masukkan semua bahan ayak ke dalam bahan gula yang dimasak dan disejukkan tadi sedikit demi sedikit dan gaul dengan senduk kayu hingga rata dan sebati.

Dalam bekas lain, pukul telur sebentar atau gunakan mixer. Kemudian tuangkan ke dalam adunan tadi dan kacau sehingga menjadi adunan yang betul betul sebati. Kacau dengan senduk kayu juga.
Masukkan adunan ke dalam bekas empat segi bersaiz 7"x7" yang telah dialas kertas kek dan dilenser dengan mentega.


Kukus selamat 4 jam di dalam pengukus yang telah dipanaskan airnya. Kek ni kalau kukus 2 jam pun dah masak, tapi untuk mendapatkan kelembapan yang lebih, kukuslah selama 4 jam. Kukus dengan api yang sederhana pada 2 jam yang pertama dan pada 2 jam yang terakhir kukus dengan api yang kecil jer. Kalau nak tambah air pengukus, pastikan ditambah dengan air panas.


-------
Resepi ini cukup mudah berbanding resepi lain yang pernah saya cuba. Definitely worth keeping-lah, katanya. Anak-anak cukup suka dan saya juga tidak risau kerana rasanya sedang elok, tidak terlalu manis.

Selamat mencuba!

Monday 31 December 2012

Urap Pakis & Bunga Betik

Urap, hidangan berasaskan sayuran yang popular dikalangan masyarakat Jawa.

URAP PAKIS & BUNGA BETIK
oleh missFridaNorm

Bahan-bahan:
1 ikat pucuk pakis (pucuk paku) -dicelur
3 genggam bunga betik (daripada pohon betik jantan). -dicelur

1 biji kelapa parut (disangai atas api sederhana, dikacau selalu, sehingga wangi)

Bahan bumbu sambal:
4 sudu besar udang kering -direndam, bilas dan disangai
2 biji lada besar
Cili api (bergantung tahap kepedasan yang diinginkan)
1/2 sudu besar belacan
6-8 biji bawang rose
4-5 biji limau kasturi -bergantung selera
Garam dan gula secukup rasa.

Cara-cara:
Panaskan sesikit minyak masak dan gorengkan semua bahan bumbu sambal sehingga layu.

Pindah ke dalam lesung dan tumbuk sampai lumat bersama separuh kelapa yang sudah disangai.

Masukkan bahan tumbuk ke dalam mangkuk bersama baki kelapa sangai dan sayur pucuk paku & betik celur. Perahkan asam limau dan gaul rata. Sesuaikan rasa dgn garam dan gula.

Siap untuk dihidang.